Penerbitan Buku

Kelulusan & Peranan Jawatankuasa

  1. Siapakah pihak yang terlibat dalam penerbitan sesebuah buku di Universiti Sains Malaysia (USM)?

Jawatankuasa Penerbitan Universiti (JPU), Jawatankuasa Sidang Pengarang Sains & Sastera (JSP) dan Penerbit USM. JSP Sains bertanggungjawab untuk penerbitan buku dalam bidang sains, teknologi dan perubatan manakala JSP Sastera bertanggungjawab untuk penerbitan buku dalam bidang kemanusiaan dan sains sosial.

2. Apakah peranan JSP dalam penerbitan buku?

a. Menerima manuskrip untuk pertimbangan

b. Mencari penilai

c. Mempertimbang laporan penilai

d. Melaporkan perkembangan aktiviti kepada JPU

e. Membuat syor kepada JPU tentang penambahbaikan dan perubahan yang berkaitan dengan dasar

  1. Apakah peranan ahli JSP dalam penerbitan buku?

a. Menguar-uarkan peluang penerbitan kepada pensyarah di pusat pengajian masing-masing

b. Mewujudkan inisiatif awal untuk mengadakan program pembinaan manuskrip pada peringkat pusat pengajian

c. Membantu menyampaikan maklumat terkini berkenaan penerbitan kepada pensyarah di pusat pengajian masing-masing

d. Menghadiri mesyuarat JSP yang bersidang 4 kali setahun

e. Mempertimbangkan manuskrip untuk penerbitan

f. Mencadangkan penambahbaikan berkenaan dasar penerbitan untuk dimajukan kepada JPU

g. Melaporkan aktiviti penerbitan yang dilaksanakan pada peringkat pusat pengajian

 

  1. Apakah peranan Penyunting Kehormat dalam penerbitan buku?

Mempengerusikan mesyuarat JSP, mencadangkan/menentukan penilai yang sesuai dan mempertimbangkan laporan penilai.

 

Penilaian

5. Bagaimanakah penilaian sesebuah manuskrip dilakukan?

Manuskrip dinilai oleh sekurang-kurangnya dua orang pakar bidang yang dilantik oleh JSP dan penilaian dilakukan secara blind review.

6. Berapa lamakah tempoh yang diberi untuk menilai sebuah buku?

8 minggu.

 7. Berapa lamakah tempoh yang diberi kepada pengarang untuk memberi maklum balas kepada komen dan cadangan penilai?

2 minggu.

8. Berapa lamakah tempoh yang diberi kepada pengarang untuk membuat penambahbaikan manuskrip berdasarkan komen dan cadangan penilai?

Satu hingga tiga bulan bergantung kepada tahap penambahbaikan yang diperlukan.

9. Setelah penambahbaikan diluluskan oleh JSP, berapa lamakah tempoh yang diberikan kepada pengarang untuk menyerahkan manuskrip lengkap kepada Penerbit USM untuk proses penerbitan?

Sebulan.

Permohonan Menerbitkan Buku

10. Bagaimanakah caranya jika saya hendak menerbitkan sebuah buku dengan Penerbit USM?

Mengisi Borang Cadangan untuk Menerbitkan Buku secara atas talian di https://epenerbit.usm.my atau memuat turun borang daripada laman web di  http://www.penerbit.usm.my dan menghantarnya ke e-mel penerbit@usm.my.

11. Perlukah manuskrip disertakan bersama-sama dengan borang permohonan?

Untuk kelulusan secara dasar, manuskrip tidak perlu disertakan. Namun sekiranya manuskrip sudah sedia, penghantaran manuskrip boleh mempercepatkan proses kelulusan.

 12. Apakah kriteria yang perlu dipenuhi untuk menjadi seorang penulis buku?

Terlibat secara langsung dalam merangka dan menulis, boleh bertanggungjawab terhadap kandungan yang dihasilkan dan terlibat secara langsung merangka penyelidikan yang menghasilkan penulisan tersebut.

 13. Apakah kriteria yang perlu dipenuhi untuk menjadi seorang editor buku?

Mengumpul dan menyunting kandungan dan persembahan buku, menulis bab pengenalan dan penutup buku, menyumbang penulisan sekurang-kurangnya satu bab, boleh bertanggungjawab terhadap kandungan buku secara keseluruhannya.

14. Apakah fungsi seorang editor buku?

Merangka penulisan, mencari penulis, menyelaras penulisan, menyunting kandungan buku, menyedia dan mengawas time line penulisan, menyediakan bab pengenalan dan penutup, menyediakan indeks, dan berurusan dengan penerbit bagi pihak semua penulis.

Proses Kerja Penerbitan

15. Apakah proses kerja yang berlaku dalam penerbitan buku?

Rujuk kepada carta alir prosedur permohonan dan prosedur kerja editorial.

16. Berapa lamakah proses penerbitan sesebuah buku setelah judul buku diluluskan oleh Jawatankuasa Sidang Pengarang (JSP)?

Selewat-lewatnya sembilan bulan setelah manuskrip yang lengkap dan bersih diterima.

 17. Apakah tanggungjawab pengarang semasa proses penerbitan sesebuah buku?

Menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh editor naskhah dalam tempoh yang ditetapkan, menyemak dan memperakui cadangan penambahbaikan oleh editor naskhah dan menyemak indeks.

18. Apakah tanggungjawab pengarang selepas buku terbit?

Mempromosi buku.

19. Bilakah perjanjian antara pengarang dengan Penerbit USM dimaterai?

Selepas judul buku diluluskan oleh JSP.

Percetakan Buku

20. Siapakah yang menanggung kos penerbitan buku jika saya menerbitkan buku dengan Penerbit USM?

 USM, kecuali kategori Penerbitan Khas dan buku yang melibatkan kos penerbitan yang tinggi.

Royalti

21. Bagaimanakah kaedah pengiraan royalti Penerbit USM?

 a. Buku bahasa Malaysia

                                x = 30% [(Kos penerbitan + 40%) – 20%]

x ialah jumlah yang dibayar kepada penulis

    kos penerbitan adalah berdasarkan bilangan cetak 1000 naskhah

 b.Buku bahasa Inggeris

                                                x = 10% × Harga buku × bilangan cetak

 c. Cetakan semula

Buku bahasa Malaysia: bagi cetakan melebihi 1000 naskhah, bayaran adalah berdasarkan jumlah buku yang dicetak mengikut kadar royalti senaskhah yang dibayar di atas

Buku bahasa Inggeris: berdasarkan bilangan cetak semula

Bagi karya yang dihasilkan oleh lebih daripada seorang pengarang, pembayaran royalti akan dibahagikan kepada semua pengarang dengan syer yang sama atau sebarang persetujuan lain oleh semua pengarang. Sekiranya karya merupakan satu koleksi esei yang dikumpulkan oleh editor yang mewakili semua pengarang, pembahagian royalti akan mengikut kadar 25:75, iaitu 25% adalah untuk editor, manakala 75% adalah untuk dikongsikan oleh semua penyumbang.

22. Bilakah royalti dibayar kepada pengarang?

Dibayar secara lump sum setelah buku terbit.

23. Berapakah bilangan naskhah buku yang diberi sebagai hadiah kepada pengarang untuk setiap judul?

10 naskhah.

 

Buku Elektronik

24. Adakah Penerbit USM menerbitkan buku elektronik?

Ya. Buat masa ini ia diterbitkan dalam format epub.

25. Apakah kriteria untuk sesuatu buku diterbitkan sebagai buku elektronik?

Bergantung kepada pertimbangan mesyuarat JSP daripada segi kesesuaian penerbitan dan potensi pasaran.

26. Adakah prosedur penerbitan buku elektronik sama dengan penerbitan buku bercetak?

Ya.

27. Apakah jenis-jenis buku yang tidak sesuai untuk dielektronikkan?

a. Buku mewah (faktor reka letak perlu dikekalkan)

b. Buku terjemahan

c. Buku usaha sama penerbitan dengan organisasi luar

d. Buku yang mempunyai terlalu banyak persamaan matematik, simbol fonetik dan karakter khas bahasa asing

28. Apakah maklumat tentang penyediaan dan penyerahan manuskrip yang perlu diketahui dan dipatuhi pengarang/editor?

Rujuk panduan kepada pengarang, Guide for Authors di laman web Penerbit USM.

 

 

 

 

© 2017 Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM Press). All rights reserved. XHTML / CSS Valid.
Proudly designed by Theme Junkie.