Makmal Penyuntingan Naskhah Dan Pruf Pada Skrin

USM, 12 Februari 2020 – Penerbit USM, melalui Pusat Transformasi Insan, telah mengadakan Makmal Penyuntingan Naskhah dan Pruf pada Skrin sebagai usaha berkala untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran staf dalam bidang penerbitan. Makmal ini yang julung-julung kali diadakan merupakan langkah Penerbit USM menghadapi tuntutan dalam bidang penerbitan.

Peserta makmal ini terdiri daripada pegawai penerbitan dan penolong pegawai penerbitan yang menjalankan kerja-kerja penyuntingan dan menyemak pruf di Penerbit USM. Jika sebelum ini penyuntingan lebih banyak dilakukan pada manuskrip yang bercetak, tetapi kini Penerbit USM menjangkakan akan bergerak ke arah penyuntingan pada skrin untuk kebanyakan projek penerbitan, terutamanya untuk penerbitan elektronik.

Ketua Bahagian Editorial, iaitu Puan Rosziana Radli, memulakan makmal dengan pengenalan kepada prosedur kerja editorial buku elektronik. Prosedur kerja ini perlu dimantapkan untuk memastikan penerbitan buku elektronik berjalan lancar dan dapat difahami oleh semua pihak yang terlibat.

Sesi kedua dikendalikan oleh Cik Noriyanti Jahaya, iaitu Pegawai Penerbitan Kanan yang bertanggungjawab dalam hal pengurusan penerbitan buku elektronik. Dalam sesi ini, beliau berkongsi tentang cara-cara untuk melakukan penyuntingan pada skrin dan pengalaman beliau dalam mengendalikan manuskrip yang disunting pada skrin.

Dalam sesi bengkel pula, peserta telah berpeluang mengaplikasikan ilmu yang dipelajari melalui penyuntingan manuskrip pada skrin. Pada sesi ini, peserta berkongsi pengalaman penyuntingan masing-masing dan mengaplikasikannya pada skrin.

Makmal ini bukan sahaja mendedahkan staf kepada ilmu dan kemahiran untuk menyunting dan menyemak pruf pada skrin, tetapi ia juga adalah langkah proaktif Penerbit USM untuk mempercepatkan proses kerja di samping menjimatkan kos apabila percetakan dapat dikurangkan.

onscreen01

onscreen02