Panduan Umum Penulis

PENYEDIAAN TEKS SYARAHAN PELANTIKAN PROFESOR

 

  1. Teks syarahan hendaklah merupakan hasil penulisan ilmiah asli yang berkualiti dan belum pernah diterbitkan sebelum ini. Teks ini juga harus memperlihatkan ketokohan dan kekuatan akademik profesor berkenaan di samping berupaya menyalurkan dan menyebarkan tahap keilmuan yang dapat difahami dan dimanfaatkan oleh masyarakat.
  2. Tajuk syarahan hendaklah sesuai dan menarik.
  3. Teks pada umumnya hendaklah diterbitkan dalam bahasa Malaysia. Sebarang maklumat lanjut berkaitan hal ini boleh dirujuk kepada Penolong Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (BHEAA), selaku urus setia Jawatankuasa Penyelarasan Siri Syarahan Umum.
  4. Teks syarahan pada keseluruhannya mestilah kemas dan selaras dari segi gaya, sempurna dari segi bahasa, termasuk peristilahan dan ejaan. Isinya perlu jelas dan tepat, rujukannya lengkap, dengan setiap entri dalam senarai rujukan dirujuk dalam teks, dan formatnya perlu teratur dan selaras.
  5. Teks syarahan hendaklah disediakan dalam ukuran A4 berjarak ganda dua (double space) dengan margin sekelilingnya (kiri, kanan, atas dan bawah) 1 inci menggunakan fon Times New Roman, 12 point.
  6. Ketebalan maksimum teks syarahan hendaklah tidak melebihi 40 muka surat (diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Siri Syarahan Umum ke-86, 3 Mac 2016), termasuklah muka surat hadapan (tajuk, biodata dan senarai jadual/rajah), isi teks (termasuk rajah/jadual) serta muka surat belakang (rujukan/bibliografi, lampiran dan istilah).
  7. Sinopsis hendaklah tidak melebihi 2 muka surat berukuran A4 berjarak ganda dua (double space) dengan margin sekelilingnya (kiri, kanan, atas dan bawah) 1 inci menggunakan fon Times New Roman, 12 point.
  8. Penulis hendaklah memastikan tajuk dan subtajuk dalam teks dinomborkan dengan betul mengikut peringkatnya.
  9. Semua rajah, jadual dan gambar hendaklah mempunyai isi yang dilabel, jelas dibaca, mempunyai tajuk yang lengkap, dinomborkan dengan betul berserta sumber rujukan sekiranya dipetik atau dimanfaatkan daripada sumber tertentu. Perkataan dan istilah dalam bahasa Inggeris yang terdapat dalam teks, jadual dan rajah hendaklah diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia.
  10. Rajah, jadual, gambar dan bahan-bahan ilustrasi lain hendaklah jelas. Saiznya hendaklah bersesuaian dengan ruang teks sebenar, iaitu 4.5 inci × 7.5 inci.
  11. Sekiranya penulis menyertakan ilustrasi dalam format .jpeg atau .tiff, resolusinya sekurang-kurangnya 300 dpi.
  12. Penulis hendaklah memberi jaminan kepada Universiti bahawa teks syarahan yang diserahkan adalah sebuah karya asli dan belum pernah diterbitkan sebelum ini. Penulis bertanggungjawab terhadap ketepatan fakta keseluruhan isi kandungan. Penulis juga mestilah memastikan bahawa tiada berlaku sebarang ciplakan atau pelanggaran mana-mana akta hak cipta dan tidak mengandungi apa-apa perkara yang sensitif, membawa fitnah dan menjatuhkan maruah. Penulis bertanggungjawab mendapatkan kebenaran daripada pemilik asal atas sebarang penggunaan bahan ilustrasi, sekiranya perlu. Sila sertakan surat kebenaran yang diperolehi bersama-sama teks syarahan.
  13. Secara amnya, Penerbit USM menggunakan gaya The Chicago Manual of Style, edisi semasa. Gaya yang digunakan oleh penulis perlulah selaras dengan gaya ini. Walau bagaimanapun, penulis boleh menggunakan gaya daripada disiplin masing-masing dengan memastikan penggunaan gaya tersebut adalah selaras dalam keseluruhan teks (seperti ejaan, penggunaan singkatan nama, penggunaan huruf besar, nombor, unit, rujukan dan lain-lain).
  14. Dokumen yang lengkap (teks, gambar, biodata, sinopsis dan Senarai Semak Penyerahan Teks - Lampiran A) perlulah diserahkan kepada urus setia (Penolong Pendaftar, BHEAA) dalam bentuk hardcopy (2 set) dan softcopy selewat-lewatnya dalam tempoh 4 bulan sebelum tarikh syarahan atau 6 bulan selepas tarikh syarahan. Selepas tempoh 6 bulan, pihak Universiti tidak akan menanggung sebarang kos percetakan (diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Siri Syarahan Umum ke-86, 3 Mac 2016).
  15. Penulis akan diminta untuk menyemak teks pada peringkat pruf galei (senarai pertanyaan) selepas proses suntingan dilakukan. Sebarang penambahan bahan dan perubahan besar tidak dibenarkan pada peringkat ini.
  16. Kos percetakan (hitam putih sahaja) yang ditanggung oleh BHEAA adalah sebanyak RM1,000.00 sahaja.
  17. Buku syarahan umum yang dicetak akan diagihkan kepada penulis (20 naskhah), PTJ (80 – sebelum syarahan atau 30 naskhah – selepas syarahan) dan bakinya kepada Penerbit USM. Jika penulis atau PTJ memerlukan naskhah tambahan, kosnya perlu ditanggung oleh penulis atau PTJ.
  18. Penerbit USM boleh menerbitkan buku syarahan umum ini dalam format elektronik.